Adaptasi Yang Wajib Anda Tahu

Adaptasi Yang Wajib Anda Tahu

Ombak Rindu

Filem adaptasi novel “Ombak Rindu” arahan Osman Ali sedang rancak bermain di pawagam dan menjadi perbualan hangat bagi mereka yang menantikannya. Tentu sekali ramai yang telah membaca novel karya Fauziah Ashari ini dan begitu teruja melihat Hariz dan Izzah dihidupkan di layar perak. Bukan semua orang boleh mengadaptasi novel ke filem, namun ia satu seni indah yang menghubungkan pencinta buku dan pencinta filem ke satu tumpuan yang sama.

Dari Novel Ke Teater: “Badai Semalam”
Penulis: Khadijah Hashim

Karya Khadijah Hashim ini tidak diadaptasi ke filem seperti “Legenda Budak Setan” tetapi dinaik taraf menjadi persembahan teater di Istana Budaya dan diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy. Primadona Erra Fazira melakonkan watak protagonis Mazni, seorang pembantu rumah yang dibesarkan di sebuah banglo milik majikannya. Walaubagaimanapun selepas kejayaan teater ini, ada kata-kata bahawa novel ini akan diangkat ke layar perak pula.

Filem Adaptasi Tempatan Paling Laris: “Lagenda Budak Setan”
Penulis: Ahadiat Akashah

Dengan kutipan sebanyak RM4.5 juta, LBS berjaya mencipta kegilaan baru produser filem dan drama di Malaysia untuk mengadaptasi novel tempatan ke layar perak. Sekalipun menerima banyak kritikan kerana isi kandungan yang tidak dikemas kini mengikut trend zaman sekarang dan beberapa kesilapan teknikal yang lain, ia masih berjaya memenangi dua anugerah di Festival Filem Malaysia ke-23. Kesinambungan filem ini, “Katrina” sedang rancak dalam pasca-produksi.