Keberangkatan Pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin & Tuanku Nur Zahirah

Keberangkatan Pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin & Tuanku Nur Zahirah

Keberangkatan pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah pada akhir tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 berlangsung dengan penuh istiadat diraja.

Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 11 pagi.

Tuanku Mizan yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikenali sebagai ‘muskat’ turut menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Muskat,

Persalinan yang berasal dari kerajaan tua Muscat yang kini dikenali sebagai Oman, adalah baju labuh separas paha dan berlengan panjang yang diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam dan dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia.

Baginda berdua berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi seramai tujuh pengiring bermotosikal serta 12 pengiring am diraja daripada Kor Armour Diraja.

Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah selamat tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini pada kira-kira 2.02 petang.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh anakanda Tengku Muhammad Ismail yang juga Pemangku Sultan Terengganu serta ahli kerabat diraja Terengganu yang lain.

Kira-kira 15,000 rakyat jelata daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, warga institusi pengajian tinggi dan golongan pelajar bertumpu ke jalan raya dari lapangan terbang hingga ke Istana Maziah sejauh kira-kira 16 kilometer bagi menyambut baginda berdua.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang akan berkuatkuasa esok (13 Disember) untuk tempoh lima tahun.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.