Kerajaan Selangor Ambil Alih Syabas

Kerajaan Selangor Ambil Alih Syabas

Kerajaan Selangor memutuskan untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh 14 hari selepas didakwa tidak mampu memberi perkhidmatan air yang baik kepada pengguna.

Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan itu diambil menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan menghantar surat memohon persetujuan daripada kerajaan pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Pada Sabtu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Syabas Datuk Ruslan Hassan mengesahkan krisis bekalan air kini melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan kapasiti pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) tidak mampu menampung permintaan sejak kebelakangan ini.

Keadaan ini telah menyebabkan tekanan air rendah sehingga menjejaskan bekalan air kepada kurang sejuta penduduk di sekitar kawasan Petaling, Klang, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.