Logo Halal Yang Bukan Dikeluarkan Oleh JAKIM Akan Didenda

Logo Halal Yang Bukan Dikeluarkan Oleh JAKIM Akan Didenda

Mulai 1 Jun, pengusaha yang mempamerkan logo halal selain daripada yang dikeluarkan oleh Jakim akan diberi amaran sebelum tindakan denda dan penjara dikuatkuasakan bermula 1 Julai di bawah Seksyen 16 Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011.Semua pemilik premis makanan diberi tempoh sehingga akhir Mei ini untuk memastikan logo halal yang dipamerkan adalah keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Di bawah akta itu, pesalah individu boleh didenda RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala syarikat atau premis pula boleh didenda RM500,000.


PEMILIK restoran akan dikenakan tindakan jika masih menggunakan logo halal yang bukan dikeluarkan oleh Jakim mulai 1 Julai ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya logo halal diiktiraf manakala logo yang lain termasuk yang dikeluarkan oleh pihak swasta dalam dan luar negara tidak dibenarkan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan Jakim telah menubuhkan satu jawatankuasa pemantauan berhubung penggunaan logo halal itu di mana anggotanya akan bertindak tegas ke atas premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan.