Pengubahsuaian Bajet 2016 – Najib Razak

Pengubahsuaian Bajet 2016 - Najib Razak
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tentang Pengubahsuaian Bajet 2016 di PICC, Putrajaya, 28 Januari 2016.

Pengubahsuaian Bajet 2016 turut tertakluk kepada perubahan yang berlaku di persekitaran ekonomi global.

Paling mustahak, pengubahsuaian dan penstrukturan ini, akan tetap teguh berpaksikan kepada dua tunjang. Pertamanya, bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan keduanya, menjaga serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Oleh itu, beliau telah mengumumkan 11 langkah pengubahsuaian Bajet 2016. Langkah-langkah tersebut adalah:

  1. Mengurangkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus mulai Mac ini;
  2. Pelepasan khas cukai sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah bagi tahun taksiran 2015;
  3. Mengurangkan kos harga barangan keperluan harian rakyat;
  4. Kesemua penjualan rumah berharga RM300,000 ke bawah ditetapkan hanya untuk pembeli rumah pertama sahaja serta tawaran pakej pembiayaan rumah rakyat berharga RM35,000 ke bawah melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Rakyat;
  5. Penyediaan dana hasil sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF berjumlah RM200 juta bagi meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja;
  6. Mempertingkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil;
  7. Kadar levi pekerja asing dikelompokkan kepada dua kategori sahaja;
  8. Kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan;
  9. Tumpu projek pembangunan yang mendahulukan kepentingan rakyat;
  10. Institusi kewangan pembangunan (DFI) dan dana modal teroka (VC) milik kerajaan akan menambah dana pembiayaan sebanyak RM6 bilion; dan
  11. Syarikat milik kerajaan (GLC) laksana inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja secara berperingkat

Pengumumkan 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian kepada Bajet 2016 ini akan menjimatkan RM9.0 bilion dari segi perbelanjaan operasi dan pembangunan, yang diumumkan pada Oktober 2015.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM267.2 bilion dalam Bajet 2016, dengan perbelanjaan operasi berjumlah RM215 bilion manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM49 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sasaran kadar defisit untuk 2016 kekal pada 3.1 peratus berbanding KDNK seperti yang diumumkan sebelum ini.

Beliau menegaskan Malaysia tidak mengalami kemelesetan ekonomi mahu pun kemelesetan teknikal.

Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan KDNK 2016 disemak semula kepada 4.0 hingga 4.5 peratus dengan andaian purata harga minyak mentah Brent pada US$30 hingga US$35 dolar Amerika setong.

Najib berkata kadar hutang negara akan terus berkurangan dan tidak melebihi paras berhemat 55 peratus kepada KDNK.

Dasar monetari juga adalah akomodatif dan kadar faedah dikekalkan pada paras yang menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri.

Ini bermakna kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan tambatan ringgit.

Potongan Kadar Caruman KWSP

Kerajaan bersetuju mengurangkan potongan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja sebanyak tiga peratus mulai Mac tahun ini sehingga Disember 2017.

Bagaimanapun kadar caruman majikan dikekalkan.

“Langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan sehingga RM8 bilion setahun,” – Datuk Seri Najib Tun Razak

Pelepasan Cukai Individu Berpendapatan RM8,000 Sebulan

Kerajaan akan memberi pelepasan cukai sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015.

Dengan langkah ini, walaupun kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM350 juta, namun ia dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga RM475.

“Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai dua juta pembayar cukai,” – Datuk Seri Najib Tun Razak

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Diteruskan

Kerajaan akan terus melaksanakan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan.

Rumah Berharga RM300,000, Terhad Kepada Pembeli Rumah Pertama

Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga RM300,000, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Ianya berkuat kuasa serta-merta ke atas projek perumahan baharu.

Kerajaan akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), agensi-agensi serta sektor swasta.

Bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga RM35,000, kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus dengan dana berjumlah RM400 juta, bermula 1 Mac tahun ini.

Program MyBeras Buat 200,000 Miskin Tegar

Pemberian 20 kilogram beras melalui program MyBeras kepada kumpulan miskin tegar setiap bulan dapat membantu meringankan hidup lebih 200,000 golongan ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mengenal pasti individu yang benar-benar layak menerima bantuan itu.

“Kita tidak boleh benarkan seorang pun rakyat kita sengsara kerana tidak ada makanan. Sebab itu kita adakan program ini dan akan menghubungi keluarga yang benar-benar miskin yang tidak mendapat sebarang bantuan kerajaan kecuali Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Langkah-langkah lain yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika menyampaikan perutusan khas pengubahsuaian Bajet 2016 adalah:

  • Kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kekal pada kadar enam peratus;
  • Pelancong dari China tidak memerlukan visa untuk memasuki negara ini, mulai 1 Mac hingga 31 Disember 2016;
  • Emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan mekanisme penyampaian kerajaan tidak terjejas;
  • Kenaikan gaji tahunan penjawat awam pada 1 Julai ini diteruskan;
  • Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam termasuk lantikan secara kontrak;
  • Empat program lanjutan pengajian tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Program Biasiswa Nasional, Program Khas Kejuruteraan, Program Lepasan Bursari dan biasiswa Ijazah Pertama Dalam Negara diteruskan;
  • Peruntukan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM5 bilion diteruskan;
  • Program MyBrain5, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA diteruskan; dan
  • Tambahan 15,000 pelajar baharu program MyMaster, 5,000 pelajar baharu program MyPhD dan 300 pelajar baharu Skim Latihan Akademik IPTA.

 

Comments

comments

Admin Muka Depan