Sultan Muhammad V Letak Jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-15

Sultan Muhammad V Letak Jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-15

sultan muhammad v

Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Januari 2019.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, Seri Paduka memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

Peletakan jawatan ini adalah yang pertama berlaku dalam sejarah Malaysia, negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Punca Sultan Muhammad V Meletak Jawatan?

Masih belum diketahui punca Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, pihak polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat provokasi susulan peletakan jawatan tersebut.

Apa-apa pun, kita perlu hormat keputusan yang dibuat oleh Sultan Muhammad V.

Siapakah Bakal Yang di-Pertuan Agong Ke-16?

Susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, kebanyakan netizen mula tertanya-tanya siapakah bakal pengganti Agong itu kelak.

Ada yang melontarkan pendapat masing-masing menerusi media sosial antaranya Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai pengganti Agong.

Ada juga yang meramalkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan ada yang tidak bersetuju apabila menegaskan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar lebih layak.

Bagaimanapun, dalam sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir pada setiap lima tahun.

Sultan Nazrin

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anakandanya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-Raja tidak memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Perlembagaan memperuntukkan seorang Raja layak dipilih kecuali belum dewasa atau dipersetujui Majlis Raja-raja dan memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja yang Baginda tidak berhasrat dipilih.

Buat masa kini, Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung di Istana Negara, memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diangkat sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja iaitu dari Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kedah.

Sehingga Majlis Raja-raja belum memilih Yang di-Pertuan Agong yang baharu maka Sultan Nazrin Muizzuddin Shah difahamkan akan terus memangku jawatan itu.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Pada 24 Januari 2019

Siapakah Sultan atau Raja yang akan bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bakal diketahui apabila Majlis Raja-Raja bersidang menerusi mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja juga turut menetapkan tarikh 31 Januari ini untuk membincangkan acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

SUMBER : HMetro – Agong Letak Jawatan

** Artikel ini dikemaskini dari masa ke semasa **