Swift Generasi Ke-3

Swift Generasi Ke-3

SUZUKI Malaysia Automobile Sdn Bhd (SMA) optimis menjual kira-kira 600 unit sebulan Suzuki Swift baru, di pasaran Malaysia.

Pengarah Urusan SMA, Keiichi Suzuki berkata, jumlah itu mampu dicapai jika dilihat kepada jualan model Suzuki Swift sebelum ini mencatat 500 unit sebulan.

Setiap tahun, Suzuki mencatatkan pertumbuhan kukuh di pasaran global dan Malaysia. Bagi tahun kewangan 2011/2012, SMA telah menjual 7,595 unit kereta Suzuki, di mana peningkatan tujuh peratus berbanding tahun kewangan lalu.

Walaupun kapasiti enjin telah pun diturunkan kepada 1.4 liter, Swift masih menawarkan pengendalian dan prestasi terbaik.

Dalam pada itu, Suzuki turut memberitahu, model Swift generasi kedua sudah pun diberhentikan pengeluarannya sekitar Disember lalu dan buat masa ini, Swift baru dibawa masuk dari Thailand (CKD ASEAN).

Model terlaris Suzuki itu dijual pada harga RM77,888 (dengan insurans) dan ditawarkan dengan lima warna menarik, antaranya biru, merah dan putih.

Suzuki Swift generasi ketiga ini sedia ditempah di 32 pusat jualan dan edaran SMA seluruh negara bermula 10 Januari 2013.