Undian Anugerah Astro Arena 2012

Undian Anugerah Astro Arena 2012

Jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan para atlit kebangsaan demi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sememangnya tidak dapat disangkal. Bukan hanya setakat memerah keringat dan tenaga, namun masa dan komitmen yang tinggi diperlukan oleh setiap wirawan dan wirawati sukan. Semuanya bagi memastikan agar mereka benar-benar bersedia dan dapat beraksi dengan cemerlang dalam lapangan masing-masing apabila tiba waktunya kelak.

Sepertimana yang telah dilakukan Astro Arena pada tahun yang lalu, pengiktirafan telah diberikan kepada para atlit yang berjaya mencapai kegemilangan dalam kalendar sukan yang menampilkan Malaysia di kejohanan-kejohanan antarabangsa. Pada tahun ini, Astro Arena sekali lagi berbesar hati untuk menganugerahkan penghargaan kepada jaguh-jaguh negara di Anugerah Astro Arena 2012, dan kami menjemput semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan acara yang penuh bermakna ini. Sebagaimana yang dilakukan sebelum ini, orang ramai juga diberi peluang untuk turut serta melibatkan diri dalam memberikan pengiktirafan kepada bintang-bintang sukan tanahair kegemaran mereka. Bermula dari sekarang hingga 23 April, para peminat sukan tempatan boleh membuat undian mereka menerusi laman sesawang Astro Arena di www.arena.my

Jika pada tahun 2011, hanya ada lima kategori iaitu Atlit Lelaki Pilihan Berpasukan, Atlit Wanita Pilihan Berpasukan, Atlit Muda Pilihan, Kebangkitan Pilihan dan Anugerah Khas Meja Sukan Pilihan (Media Cetak) yang dipertandingkan, pada tahun ini pula terdapat tiga kategori tambahan baru iaitu Jurulatih Pilihan, Blog Sukan Pilihan dan Perlawanan Pilihan. Selain itu Anugerah Astro Arena 2012 juga bakal mengumumkan nama tiga legenda sukan yang akan terpahat di Dewan Kemasyhuran Astro Arena, serta mengurniakan anugerah khas kepada seorang bekas atlit Paralimpik ke atas sumbangannya kepada Negara.

Berikut adalah senarai kategori serta calon-calon yang bakal dinobatkan sebagai penerima anugerah:

Atlit Lelaki Pilihan Berpasukan

  • Khairul Fahmi Che Mat (Bola Sepak)
  • Bryan Nickson Lomas (Terjun)
  • Adrian Ang (Bowling), Cheng Chu Sian (Memanah) dan
  • Mazli Ikmar Mohd Nor (Hoki)

Atlit Wanita Pilihan Berpasukan

  • Pandelela Rinong (Terjun)
  • Png Hui Chuen (Renang Berirama)
  • Jacqueline Sijore (Bowling)
  • Nur Fatehah Mustapha (Berbasikal)
  • Katrina Ann Abdul Hadi (Renang Berirama)

Atlit Muda Pilihan

  • Zulfadli Zulkifli (Badminton)
  • Adiq Husaini Othman (Berbasikal)
  • Aaliyah Yoong (Ski Air)
  • Jupha Somnet (Berbasikal)
  • Muhammad Nazmi Faiz Mansor(Bola Sepak)

Kebangkitan Pilihan

  • Sam Chong (Snuker)
  • Lee Hup Wei (Olahraga).

Jurulatih Pilihan

  • Yang Zhuliang (Terjun)
  • Ong Kim Swee (Bola Sepak)
  • Holloway Cheah (Bowling)
  • John Beasley (Berbasikal)
  • Lee Jae Hyung (Memanah)

Blog Sukan Pilihan

  • Haresh Deo(Foul)
  • S S Dhaliwal ( Malaysian Sports)
  • Christopher Raj (Jaiho Malaysia)
  • Mohd Aiman (SuaraSukan1Mas)

Perlawanan Pilihan

  • Indonesia lwn Malaysia (Final Bola Sepak Sukan Sea 2011)
  • Lin Dan lwn Lee Chong Wei (Final Kejohanan Badminton Seluruh England 2011)
  • Terengganu lwn Negeri Sembilan (Piala Malaysia 2011)
  • Malaysia lwn Singapura (Kelayakan Piala Dunia 2014)
  • Malaysia lwn Australia (Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2012).

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang calon-calon bagi kategori-kategori baru tahun ini, sila layari www.arena.my.Jadi jangan ketinggalan untuk menentukan atlet-atlet kegemaran anda yang bakal dinobatkan sebagai pemenang-pemenang Anugerah Astro Arena 2012. Siaran langsung Majlis Penyampaian Anugerah Astro Arena 2012 juga akan ditayangkan pada jam 9.00 malam pada 24 April, eksklusif di Astro Arena (Saluran 801). Pastikan anda tidak terlepas untuk menyaksikan siaran langsung Majlis Anugerah Astro Arena 2012 ini dan turut sama memberi sokongan dan berkongsi kegembiraan yang telah dicapai oleh atlit-atlit kebangsaan kita.

Latar Belakang Anugerah Astro Arena

Anugerah Astro Arena (AAA) merupakan acara tahunan yang memberi pengiktirafan kepada para atlit dan personaliti sukan yang telah beraksi cemerlang pada tahun sebelumnya. Pemilihan calon dilakukan oleh Astro Arena dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai badan penasihat.Proses pemilihan penerima AAA ditentukan melalui undian peminat, seterusnya panel juri khas yang akan menentukan pemenang mutlak AAA. Undian dibuka kepada orang ramai melalui laman sesawang Astro Arena di www.arena.my.

Latar Belakang Astro Arena

Astro Arena merupakan satu-satunya saluran sukan yang bersiaran selama 24 jam dengan memfokuskan perkembangan sukan dan atlit di Malaysia dan disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia. Perlancaran saluran ini bukan sahaja telah memacu Astro ke suatu aras yang tersendiri, tetapi telah melengkapkan tawarannya terhadap Pakej Famili merangkumi hiburan, pendidikan, dan kini sukan untuk capaian 15 juta penonton yang meliputi 2.93 juta kediaman di Malaysia. Pelbagai program utama di Astro Arena termasuk siaran langsung kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa membabitkan aksi atlit negara termasuk laporan dari bilik berita ‘Nadi Arena’; yang bersiaran pada jam 7.30 pagi 1.00 petang dan 11.00 malam, ‘Kafe Sukan’; program temu bual yang membincangkan pelbagai topik berkenaan perkembangan sukan dan atlet tempatan, ‘Formasi’; sebuah program yang memfokuskan perkembangan terkini perlawanan liga bola sepak Malaysia dan ‘Aktifpedia’, rancangan gaya hidup yang membawa penonton untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian sukan yang ada di negara ini.